Thursday, September 11, 2014

Mardhatillah

Alhamdulillah..segala puji bagi Allah yang telah memberikan segala nikmatnya yang tak terhitung kepada kita semua dan salawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw yang telah melaksanakan tugasnya menyampaikan wahyu dan peringatan Allah kepada kita semua.

Marilah sama-sama kita lihat kembali, sehari dua sebelum ini apakah yang telah kita ucap dan tetapkan itu benar-benar menepati kehendak Allah dan Rasulnya. Baik di mana sahaja, media baru atau ucapan@ceramah atau sembang-sembang kosong dan sebagainya.

Apakah tidak timbul di sana perasaan riya dalam diri kita, apakah tidak timbul di sana perasaan untuk mempertahan hujjah walaupun tahu ianya salah, apakah tidak timbul di sana bicara yang meragukan sahabat-sahabat kita, apakah tidak timbul di sana fitnah kesan dari kita tidak mendapat maklumat secukupnya, apakah tidak timbul di sana perasaan dendam semata-mata atau apakah tidak timbul di sana gurauan-gurauan yang mengguris hati.

Barangkali ini hanya secebis dari kesilapan yang kita tidak sedar. Dan lantunan kalimah-kalimah ini adalah juga buat diri saya yang lemah ini. Andai saya tersilap maka beritahulah dan jangan didiamkan, kerana saya mahu tahu apa dan di mana silapnya saya. Maka begitu jugalah saya akan menegur sahabat semua andai ada yang meragukan saya.

Sepertimana yang sering saya sebutkan sebelum ini, bahawa saya sayang semua sahabat dan pastinya sayang itu kerana Allah swt. Maka saya akan menegur kerana Allah. Para pimpinan yang turut bersama di sini, bimbing dan ingatkanlah kami ahli-ahli bawahan lagi marhaen ini dengan lemah lembut sebagaimana peringatan Allah dalam al quran yang berbunyi;

Surah Al Fath ayat 29
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).

Firman Allah swt lagi di dalam al quran;

Surah Al Hasyr ayat 10
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.

Firman Allah swt lagi dalam al quran;
Surah Maryam ayat 96
...Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.

Demikianlah harapan saya kepada sahabat semua dan sesungguhnya tidak ada apalah yang paling penting melainkan mengharapkan keredhaan daripada Allah swt dan semoga dengan itu nanti kita semua akan ke syurga Allah swt.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...