Sunday, November 8, 2009

Politik dan Dr.Asri Zainul Abidin

Isu penangkapan Dr.Asri Zainul Abidin Zainal Abidin baru-baru ini telah menimbulkan beberapa spekulasi politik antara kerajaan dan pembangkang. Isu mengajar tanpa tauliah bukan satu persoalan utama, tetapi lebih kepada siapa yang mempengaruhi Jabatan Agama Islam Selangor untuk bertindak menangkap Dr.Asri Zainul Abidin.

Seterusnya pertikaian mengenai ijazah yang dimiliki oleh Dr.Asri Zainul Abidin juga menjadi isu apabila dikatakan tidak sah, dan merupakan ijazah palsu. Dua faktor ini sekiranya ditimbang-timbang, adalah mustahil boleh dikeluarkan oleh orang-orang biasa sahaja, dan tidak mustahil ada tangan ghaib yang mengarahkan peristiwa seperti ini berlaku. Saya tidak menuduh mana-mana pihak, samada dari pihak Pakatan Rakyat Selangor atau Barisan nasional.

Tetapi melihat kepada peristiwa lampau, urusan penangkapan orang-orang yang beragama ini, sekatan untuk berceramah, pelanggaran fatwa dan sebagainya adalah dengan sebab adanya campur tangan politik. Bekas mufti Selangor sendiri, Ustaz Ishak Baharum telah di pecat daripada jawatan mufti dan dipencilkan. Walaupun kaedahnya dengan penamatan kontrak kerja, ianya lebih sesuai dikatakan semacam satu proses pemecatan.

Kemudian lagi apabila kita lihat dalam peristiwa tahun 1985, di mana orang-orang agama dibunuh dalam peristiwa Memali, dan sehingga ke hari ini kes Memali masih belum selesai lagi. Sehingga ada desas desus mengatakan bahawa proses perundangan Memali ini akan berakhir begitu sahaja dengan kematian saksi-saksi utama, disebabkan proses perundangan yang terlalu lama. Dan ianya dilihat sebagai satu kesengajaan daripada pihak tertentu untuk melambat-lambatkan proses perundangan Memali ini.

Kembali kepada kisah tiadanya pentauliahan Dr.Asri Zainul Abidin yang menjadi penyebab kepada penangkapan beliau, kita melihat tauliah juga kini di JAIS telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu. Saya tidak melihat ini sebagai salah satu daripada buah tangan Pakatan Rakyat. Tetapi lebih kepada pentadbiran JAIS sendiri yang tidak mahu bersepakat dengan Pakatan Rakyat.

Sebagai orang-orang yang beragama, bekerja di tempat yang bersuhu agama, yang harumannya berbau agama, mana mungkin menangkap seorang bekas mufti atas alasan tiada tauliah. Ini antara satu kesilapan dalam perundangan kita, apabila kita melihat kebijaksanaan seseorang itu melalui tali-temali persijilan dan kaca mata perundangan. Sehingga tanpa sedar kita telah melampaui ilmu-ilmu Allah swt yang dikurniakannya kepada ulama-ulamanya.

Apabila kita melihat ulama-ulama dalam kaedah melihat orang-orang awam, maka langkah kita pasti akan tersilap dan lambat-laun akan menyebabkan kita tersungkur dalam keadaan hina dina. Apabila kita menilai ilmu melalui tauliahnya, sijilnya, dan bukannya daripada ilmu yang ada padanya, maka kita telah mencipta satu kesalahan yang amat besar.

Kebetulan, Mufti Perak yang memang UMNO pula menyokong penangkapan ke atas Dr.Mohd Asri ini bersama dengan Mufti Pahang, dengan alasan bahawa beliau juga perlu mendapatkan tauliah sekiranya hendak memberi ceramah atau kuliah agama di negeri lain. Alangkah bengkaknya pemikiran Mufti Perak ini, apakah hanya dengan gelaran “Tan Sri” sudah melucutkan pemikiran yang mengutamakan agama daripada sekular? Tidakkah dia sedar bahawa undang-undang ini telah ditaja oleh puak-puak kuffar? Yang 52 tahun dahulu UMNO bersetujunya dengannya?

Kredibiliti beliau kini bukan lagi tercalar, bahkan hancur musnah. Lihat saja tokoh-tokoh yang menyokong UMNO dikemudian hari, akhirnya tenggelam tidak berbunyi lagi. Di mana Dr.Masyitah, di mana Ezam penyimpan 6 kotak maklumat kerajaan, di mana Ustaz Firdaus bekas imam di masjid negara? Dan akan datang mungkin kita akan bertanya lagi, di mana Harussani.

Tan Sri Harussani Zakaria berbicara seolah-olah dia adalah orang yang betul-betul mengutamakan undang-undang. Mengatakan bahawa perlu patuh kepada enakmen Dewan Undangan Negeri dan berpegang kepada lima rukun negara. Tetapi mengapa tidak dipersoalkan undang-undang di dalam al-Quran yang diturunkan Allah sejak sekian lama itu? Kamu adalah mufti, yang agamanya adalah agama Islam. Dan juga kamu dipertanggungjawabkan untuk menasihati Paduka Sultan berkenaan urusan agama. Tetapi kamu bersekongkol dengan UMNO, sebuah parti sekular yang memisahkan Islam dan politik, yang memisahkan Islam dan urusan pemerintahan.

Semasa Pakatan Rakyat memerintah, kamu orang yang menyuruh PAS bergabung dengan puak-puak munafik ini, dan kelmarin kamu ke Mesir menyebarkan risalah UMNO, kini kamu mempertikaikan bantahan rakyat ke atas penangkapan Dr.Asri Zainul Abidin Zainul Abidin.

Jangan sampai kamu seolah-olah mempertahankan agama, tetapi kamu sendiri menjadi munafik yang paling besar. Sedarlah Harussani.

Kenapa sekarang kamu tidak berbunyi apabila UMNO telah merampas kerajaan di Perak? Sedangkan ianya terang-terang menyalahi Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Peristiwa ini barangkali tidak berkaitan dengan agama, kerana agama telah dipisahkan daripada polotik.

Sedarlah wahai rakyat Perak, alangkah malangnya nasib kamu semua, bersultankan UMNO, bermenteri besarkan UMNO dan bermuftikan UMNO. Ketiga-tiganya sekular, pemisah agama daripada urusan pemerintahan. Ketiga-tiganya munafik yang saling mengutamakan kepentingan masing-masing dan akhirnya jadilah rakyat didungukan, dan kroni diutamakan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...