Monday, September 8, 2014

Alang Ibn Shukrimun

ANWAR SUDAH LAYAK BERSARA

Saya masih belum faham kenapakah masih ada yang mahukan Anwar mengepalai politik tanahair. Sejak daripada PRU12 lagi sudah bermacam-macam perkara populis yang tidak menguntung rakyat dilakukannya.

16 SEPT

Pertama, rancangan kurang cerdiknya merampas kerajaan Malaysia dengan projek 16 September. Strateginya ialah 'membeli' beberapa MP BN untuk lompat masuk ke PR. Kerakusannya berkuasa menyebabkan beliau lupa bahawa orang yang mereka ingin beli itu adalah orang BN, orang yang tidak boleh dipercayai sekali-kali. Bayangkan apabila orang-orang itu dibeli kembali oleh BN, Anwar akan jadi PM paling sekejap dalam dunia. Negara akan kacau bilau. Semua projek dan aktiviti kerajaan akan tergendala dengan pertukaran pentadbir negara, sekaligus memudahkan lagi musuh-musuh luar masuk campur dalam urusan negara kita .

Sepatutnya Anwar belajar politik dengan PAS. Semasa kemelut MB Terengganu yang lepas, PAS tidak mengambil peluang membeli ADUN BN walaupun ada yang telah keluar UMNO menjadikan posisi pada waktu itu ialah 50-50. UMNO memang tidak boleh dipercayai. Akhirnya ADUN yang berlakon keluar BN menjilat kembali ludahnya. Memang tidak dapat difikirkan bagaimana ada pemimpin politik pembangkang masih boleh percaya pada orang UMNO.

BLACKOUT

Anwar juga pernah mencatur gerak blackout sebagai membantah keputusan PRU13. Kononnya akan berlaku kebangkitan rakyat menolak keputusan PRU.

Anwar sebenarnya bergerak tanpa sebarang maklumat tepat terhadap kesedaran politik dan sosial di kalangan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia terlalu jauh jika nak dibandingkan dengan kesedaran rakyat Jepun, Indonesia atau Thailand. Lihat sahaja contoh isu bantah kenaikan harga minyak. Kemarahan rakyat cuma seminggu, itupun hanya di mulut dan media sosial. Mereka belum berani bergerak lebih jauh.

Keberanian kakitangan awam menyokong pembangkang juga harus dijadikan indikator. Walaupun ramai yang sudah sedar, kebanyakan mereka hanya memendam kebencian dalam hati tapi masih takut untuk bangkit.

Meniru semangat arab spring adalah langkah yang salah. Kebangkitan arab didokong dengan himpitan hidup yang amat teruk. Selain itu semangat mereka ditiup oleh janji-janji Islam melalui pidato-pidato Ulama' sekeliling. Sedangkan rakyat Malaysia masih hidup lebih selesa dan Ulama' masih belum diterima baik sebagai penimpin sosial. Membentuk rakyat dengan sensitiviti sebegini memerlukan proses dakwah/propaganda yang panjang dan berterusan.

Akhirnya impian blackout hanya tinggal impian.

KAJANG

Satu lagi kebobrokan yang dilakukan Anwar adalah mengarahkan kerusi Kajang dikosongkan awal 2014. Tujuannya untuk beliau bertanding di sana, ke arah merampas takhta MB dari TSKI.

PAS dan DAP amat terkejut dengan tindakan ini. Namun atas kesepakatan PR, PAS membantu mengikut keperluan. Peratus keluar mengundi ternyata menggambarkan rakyat mual dengan politik jenis ini.

Antara kelemahan strategi Anwar ialah gopoh mengarahkan kerusi dikosongkan dan gopoh mengumumkan dirinya sebagai calon. Beliau sepatutnya mengambil kira tarikh perbicaraan kes liwat beliau yang dijadualkan tidak lama selepas pengumumannya. Ternyata keputusan perbicaraan itu mengganggu rancangan Kajang Move apabila calon terpaksa diserahkan kepada isteri kesayangan. Ini sedikit sebanyak memalukan PR seolah tidak peka dengan muslihat pihak lawan.

FITNAH

Paling utama ialah kes mahkamahnya yang terlalu banyak. Fitnah yang berjaya dikejutkan membawa kepada tuduhan berbentuk peribadi yang tak berkesudahan lalu mengheret rakan-rakan PR turut terlibat mempertahankannya.

Walaupun ini adalah sebahagian haknya sebagai seorang muslim, namun untuk mempertahankan imejnya yang sudah tercalar teruk dipukul media BN amat membebankan. Sebaiknya beliau tidak lagi berada di saf hadapan dan hanya sebagai pemikir belakang tabir, barulah masalah-masalah peribadinya tidak mengganggu fokus parti-parti komponen pakatan terhadap isu rakyat.

Tambahan pula, beliau kemungkinan besar bakal ke penjara kembali dengan isu peribadinya. Eloklah beliau perlahan-lahan mencari pelapis agar kehilangannya kerana isu dalam kain tidak mempalit imej negatif terhadap PR. Kalau ke penjara kerana isu rakyat lainlah.

LANTIK ISTERI

Beliau juga melakukan sesuatu yang parah apabila melantik isteri sendiri sebagai calon MB dalam keadaan pentadbiran TSKI tiada sebarang isu major yang boleh menggugat sokongan terhadap PR. Secara politiknya amalan kronisme dan nepotisme warisan UMNO telah sekali lagi diamalkan. Imej PR sebagai pakatan yang menolak amalan seperti ini tercalar teruk seolah meludah ke langit.

Disaat kita pertikaikan penglibatan Rosmah dalam urusan PM, dengan kekayaan anak beranak Mahathir, kita pula tunjuk pada rakyat perangai sama. Soalnya ialah persepsi awam. Umum melihat PKR seolah parti keluarga. Kalaupun DSWA dilihat layak sebagai MB, tidak adakah pemimpin lain dalam PKR yang boleh menggantikannya demi menutup persepsi buruk terhadap PKR?

TIPU

Anwar banyak bercakap tak serupa bikin. Dahulunya kata mahu bersara jika kalah PRU13. Tapi hari ini makin galak berperanan. Dulunya sebut isu Kajang tak berkait dengan MB, tapi hari ini itulah hakikatnya. Asal kata tidak mahu bertanding, selang dua tiga hari dia sendiri umumkan namanya calon PRK Kajang.

DALAMAN PKR

Jawatan beliau sebagai Ketua Umum PKR langsung tidak membantu meninggikan organisasi dalam parti itu. Apa yang kita lihat ahli sesama ahli bercakaran dengan amat teruk sehingga kes baling kerusi. Krisis antara Azmin-TSKI sudah berlaku sebelum PRU13 lagi namun kepimpinannya langsung tidak berjaya menyatukan kedua mereka.

Wakil rakyat paling ramai melompat parti diungguli oleh PKR. Kerana lompat parti itulah kerajaan PR Perak tumbang tanpa pembelaan dari pihak istana.

Pemilihan parti itu juga penuh misteri. Proses pemilihan yang kononnya paling demokratik adalah paling kuno kerana memakan masa berbulan lamanya. Dasar satu ahli satu undi adalah demokrasi zaman Greek purba Aristotle dan sangat tidak efisyen di zaman penghapusan sistem kasta hari ini.

Sehingga hari ini PKR amat bergantung harap kepada pertolongan jentera kempen di peringkat akar umbi. 16 tahun dipersada politik masih belum mampu membentuk ranting dan cabang yang boleh berdiri sendiri tanpa mengharap bantuan rakan parti lain. PKR cuma gah diawang-awangan tapi langsung tidak punya tapak yang kukuh.

Itu belum lagi saya buka cerita mengenai keahlian, kongres nasional, perlembagaan, jawatan ketua umum, pengaruh presiden dan macam-macam lagi kelemahan.

Tempoh menuju pilihanraya yang berbaki dua tahun ini langsung tidak digunakan oleh Anwar untuk mengupayakan parti di peringkat bawahan, sebaliknya kian rakus mengejar misi ke kerusi kerajaan melalui jalan pintas.

TEOKRASI

Demokrasi yang meniti di mulut Anwar hanyalah mitos sahaja. Beliau lebih menunjukkan sikap teokrasi dalam amalannya. Dalam PR beliau cuba berlagak boss, membuat keputusan sendiri tanpa bertanya terlebih dahulu. Kajang Move, 16 Sept, Blackout, mengumumkan ketua menteri sarawak dari PR, semua itu membelakangkan dasar konsensus PR yang perlu dipersetujui bersama. Ketua pembangkang di Parlimen bukan bererti ketua PR. Tiada siapa layak mengaku akulah ketua.

Mengenai beliau dalam PKR pula, Ketua Umum itu telah menjatuhkan maruah Presiden parti seolah-olah tiada apa-apa kuasa. Muka Anwar lebih banyak menghiasi poster PKR berbanding presidennya berbeza dengan TGNA atau LKS. Dalam banyak isu-isu PKR yang timbul, Anwar lebih banyak dirujuk media berbanding presiden. Paling menyedihkan, keputusan untuk menghantar nama calon yang dituntut istana tidak dapat dibuat, hanya dengan alasan menunggu Anwar tiba. Kita sudah boleh baca siapa sebenarnya MB jika DSWA dipilih.

DASAR TERHADAP ZIONIS

Masih tersimpan lagi di benak ini bagaimana sikap Anwar terhadap penjenayah no.1 dunia; zionis. Langsung tidak menggambarkan sensitiviti seorang muslim. Laporan kenyataannya dalam wall street journal secara terbuka menyokong perlindungan keselamatan terhadap negara haram itu dengan penjelasan 'two state solution' iaitu supaya zionis turut menubuhkan negaranya di tanah palestin secara rasmi amat mengecewakan orang Islam dan aktivis pencinta keadilan sejagat. Kononnya Anwar Islamis yang boleh disamakan dengan Erdogan, tapi pendirian beliau lebih teruk dari sesetengah pemimpin negara bukan Islam. Mungkin Erdogan merasa terhina jika tahu beliau disamakan dengan orang seperti Anwar

INSTITUSI RAJA

Hari ini beliau sekali lagi melakukan perkara yang memalukan PR. Berkeras  mempertahankan MB pilihan mereka walaupun istana terang-terangan menolak DSWA selepas sultan meminta nama lain selain DSWA. Lafaz 'derhaka' dan 'murka' daripada pihak istana kepada PKR serta DAP adalah sesuatu yang amat serius. Apabila istana sendiri tidak bersama PKR seandainya MB dari kalangannya, bagaimana mahu membentuk sebuah pentadbiran yang lebih baik dari zaman TSKI? Sengketa ini diramalkan bakal berpanjangan sehingga PRU14.

Perlu diingat hasil kajian PRU13 lepas menunjukkan PR sudah menguasai kira-kira 80% sokongan bukan melayu tapi masih belum mampu menang. Yang menjadi masalah ialah sokongan melayu. Isu istana dan raja adalah isu sensitif orang melayu dan tindakan menyanggahi titah tuanku tidak mendatangkan sebarang keuntungan buat PR.

Konvensyen PR sendiri memutuskan untuk menghormati institusi raja-raja melayu atas asas memenangi hati orang melayu sebagai kuasa politik teras Malaysia. Tindakan biadap sebegini ibarat mempelawa orang melayu menghukum PR dalam PRU akan datang. Semestinya BN akan gunakan isu ini sebagai isu utama nanti untuk menghangatkanan sentimen kemelayuan seperti sebelum-sebelum ini.

Apa yang paling saya tak sanggup dengar dari kempen BN nanti ialah mempertikaikan tahap kecerdikan Anwar apabila memberi satu nama sahaja untuk sultan pilih. Budak belum mumayyiz pun tahu bahawa bukan boleh pilih kalau hanya satu nama. Kamus manakah yang dirujuk oleh Anwar menyatakan maksud lebih dari dua itu ialah satu?

BERSARA

Sebab itulah saya cadangkan supaya Anwar letak jawatan sahaja dari dunia politik. Risiko-risiko yang beliau laburkan sejak dulu masih belum menghasilkan sebarang keuntungan. Apa salah beri peluang kepada pimpinan lain pula dalam PKR yang sebelum ini lantang dengan pelbagai isu-isu rakyat.

Permainan politik Anwar hanya memandulkan peranan mereka di persada isu tanahair. Kemana pejuang isu GST? Kemana hero isu TPPA? Kemana jaguh isu pembaziran Rosmah? Mana juara isu tariff eletrik? Mana pahlawan isu harga minyak? Mana generasi baru ANAK felda? Mana KASE? Mana semuanya?

Cukuplah mengheret mereka semua berundur dari perjuangan isu rakyat. Kajang move is really backward move.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...