Sunday, October 26, 2014

NASIHAT BUAT PEJUANG

(TONGKAT SUNAN)
Assalamualaikum warahmatullahi wabaratuh...salam perjuangan kepada sahabat² semua. Alhamdulillah sehingga ke hari ini kita masih lagi diberi kesihatan dan kekuatan untuk menentang kemungkaran dan membawa amal maaruf kepada hamba² Allah di sekeliling kita.
Sahabat² semua, pokok pangkal kepada semua gerak kerja kita ini ialah antaranya niat yang ikhlas dan paham tentang perjuangan. Kita secara sedar atau tidak telah bertindak dengan fikrah akal semata-mata tanpa merujuk kepada alquran dan sunnah nabi saw. Maka bila terjadi seperti itu, apabila kehendak kita di tolak, pandangan kita tak diterima, kita akan merasa kecewa dan marah.
Apabila kita ditegur, apabila kita dinasihati, maka kita akan melompat.
Kita mendengar dan memahami umpatan² yang dimasukkan ke dalam minda kita dan kita bersetuju dengannya. Akhirnya kita turut sama terikut² rentak umpatan tersebut tanpa kita tabayyun terlebih dahulu.
Gambar seolah² membayangkan realiti sebenar, tapi kita lupa, gambar itu adalah benda mati yang menunjukkan suasana pada waktu itu sahaja. Persoalan kenapa, dan sebab apa pada gambar yang kita lihat tidak kita perhalusi secermat mungkin. Akhirnya jadilah gambar itu sebagai bukti mengejutkan fitnah yang sedang tidur.
Apakah sudah tidak ada kerja lain yang boleh kita buat, selain mengumpat dan mempercayai khabar angin yang belum tentu sahih.
Tuan² semua, alangkah indahnya kalau kita bekerja kerana Allah, bukan kerana manusia. Alangkah indahnya kalau ada intima' yang benar dalam diri kita, bersama kita dalam perjuangan ini kerana memperjuang aqidah dan syariat yang dilupakan oleh mereka di sana. Kita jangan terikut rentak PKR dan DAP, di mana intima' mereka kerana mereka benci pemerintahan zalim BN. Intima' kita adalah untuk memperjuangkan aqidah dan syariat yang berlandaskan Islam yang sebenar. Bila begitu, maka di sana ada peranan untuk menentang rasuah, ada peranan menentang kezaliman, ada peranan untuk mewujudkan keadilan, ada peranan untuk melebarkan kebajikan dan sebagainya.
Maka dengan itulah PAS mengambil keputusan untuk bertahaluf dengan PKR dan DAP. Atas sebab untuk menumbangkan kezaliman demi kezaliman yang semakin hari semakin berleluasa.
Dalam muktamar di peringkat dewan² dan pusat, kita pula telah bersetuju untuk melantik pimpinan kita yang akan kita tumpahkan wala' dan tsiqah. Namun sebahagian dari kita agak terbelit dengan emosi, sehingga pimpinan menjadi sasaran kecaman demi kecaman dan penghinaan demi penghinaan. Alangkah dangkalnya pemikiran kita, yang hanya berjuang di medan² whatsup dan telegram. Kita mengharapkan kemenangan yang cepat dan segera. Tidakkah kita merujuk kepada sumber perlembagaan tertinggi PAS iaitu alquran dan assunah? Atau kita merujuk kepada sumber batu jemala kepala kita sahaja dengan bersandarkan pemikiran logik dan skeptikal?
Firman Allah swt....
لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا لاتبعوك ولكن بعدت عليهم الشقة
"Kalaulah apa yang kami serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka."
Demikianlah tuan² semua, perjuangan kita ini penuh onak dan ranjau, penuh halangan dan rintangan, penuh cubaan dan bebanan. Andai tidak saja kita pegang kepada konsep kesabaran, maka kita akan tersungkur penuh kehinaan di sana nanti.
Marilah sama² kita muhasabah kembali onak perjuangan yang kita lalui, apakah terdapat kesukaran di sana atau kesenangan dan kekayaan yang melimpah ruah. Andai saja ada kesenangan dan kekayaan yang melimpah ruah, seharusnya kita berfikir kembali, apakah ini satu anugerah daripada Allah atau isti'jal daripada-Nya. Jangan sampai penghambaan kita kepada Allah bertukar kepada penghambaan kepada manusia. Setiap watak dalam perjuangan ini ada skripnya masing². Dan perhalusilah skrip masing², apa benar atau salah.
Wallahu 'alam.
Siiru 'ala barakatillah.
Allahu akbar!!!
Allahu akbar!!!
Allahu akbar!!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...