Wednesday, February 24, 2010

Selena Tay : Awas, Najib dekat masyarakat Cina

Pada masa perayaan Tahun Baru Cina ini, Perdana Menteri Najib Razak asyik sahaja membuat lawatan ke rumah terbuka di sana sini. Beliau sendiri pun telah menganjurkan satu rumah terbuka secara besar-besaran di Pandamaran di mana kebanyakan penduduknya adalah berbangsa Cina dan telah dilaporkan bahawa rumah terbuka ini mendapat sambutan hangat dari rakyat berbilang kaum. Beliau telah mengambil kesempatan masa Tahun Baru Cina ini untuk cuba meraih kembali sokongan orang Cina. Oleh itu, pada masa inilah beliau telah bertubi-tubi melaung slogan 1Malaysia setiap hari. Pada masa yang sama pula kelihatan Pakatan Rakyat macam diam sahaja, tidak banyak publisiti yang diberikan mengenai rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak Pakatan Rakyat ataupun lawatan ke rumah terbuka yang dibuat oleh anggota Parlimen dan Adun Pakatan. Penulis rasa ini adalah tidak berapa baik memandangkan bahawa pihak BN sekarang secara besar-besaran sedang mempromosikan imej Perdana Menteri Malaysia yang sedang melawat ke sana sini. Tidak ketinggalan juga ialah lawatan ke Sarawak yang baru sahaja dibuat oleh beliau dengan bertaburan janji-janji wang dan pembangunan yang akan diberi untuk membangun negeri tersebut serta ceramah terbuka mengutuk Pakatan Rakyat sebagai satu pakatan yang rapuh dan tidak mempunyai kebolehan mentadbir. Promosi imej Najib ini bukanlah satu perkara yang patut dipandang remeh oleh pakar strategi Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana apabila rakyat nampak bahawa Perdana Menteri Malaysia sanggup melawat rumah individu, maka mereka pun akan rasa terpegun dengan sikap beliau yang peramah dan sanggup merendahkan diri untuk bercampur-gaul dengan rakyat jelata. Penulis berharap anggota Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat pun akan mengambil kesempatan perayaan Tahun Baru Cina ini untuk bercampur-gaul dan melawat rumah Cina dalam kawasan Parlimen atau kawasan DUN mereka. Jangan melepaskan peluang ini untuk bersembang dengan para penduduk yang telah mengundi mereka pada masa pilihanraya yang lalu dan bercampur-gaul dengan penduduk yang mungkin akan mengundi mereka pada pilihanraya yang akan datang. Dijangka Pilihanraya Umum yang ke-13 akan diadakan pada hujung tahun ini ataupun selewat-lewatnya sebelum pertengahan tahun 2011 (iaitu sebelum perlancaran sistem cukai GST). Walaupun ini adalah satu jangkaan sahaja, Pakatan Rakyat mesti sudah mula mengorak langkah dan merancang strategi untuk Pilihanraya Umum tersebut. Dapat dilihat dari situasi politik yang berlaku pada masa kini, mungkin jangkaan diatas adalah tepat. Penulis berharap pakar strategi Pakatan Rakyat telahpun mengadakan perjumpaan untuk membuat perancangan strategi dan jika belum berbuat demikian, harap-harap akan diadakan perjumpaan dalam masa yang terdekat. Jangan berlengah-lengah lagi. Masa telah suntuk!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...